Wednesday 2 October 2013

MUKTAMAR KE 59 YANG AMAT DINANTI!

Ahli PAS yang melebihi sejuta orang kini kini sedang menyelesaikan mesyuarat agung 188 kawasan di seluruh negara, sementara Dewan Pemuda PAS yang mempunyai 173 kawasan dan Dewan Muslimat 167 kawasan sudahpun bermesyuarat. Dewan Ulama pula tidak mempunyai mesyuarat di peringkat kawasan sebaliknya sayap itu hanya di peringkat negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Selepas selesai semuanya – di peringkat kawasan dan Ijtimk negeri – maka berlangsunglah Muktamar Tahunan PAS November nanti dijangka akan diadakan di Shah Alam, Selangor, sebuah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Kini, muktamirin yang akan menyertai Muktamar PAS ke-59 ini tentu sekali sedang membuat persiapan mental secukupnya untuk perbahasan dan pemilihan saf pimpinan peringkat tertinggi, yakni sudahpun digariskan etika pemilihannya yang dilihat munasabah. Muktamar kali ini akan menjadi perhatian istimewa – dalam mahupun luar negeri, disebabkan terutamanya, kerana mereka mahu mendengar hala tuju PAS sebagai parti politik arus perdana. Kedua, kemampuannya mempersiapkan diri menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan bertarung di kancah politik Malaysia yang kelihatannya sangat dinamik dalam suasana luar biasa. Sementara melihat para pemimpin di atas pentas Muktamar pula, kita yakin mereka akan menyerlahkan idea dan gagasan besar untuk memerkasa PAS sebagai sebuah parti arus perdana. Ia bukan lagi hanya dilihat sebagai parti kampungan yang hanya penuh dengan nostalgia, tetapi ia sebuah parti arus perdana yang ditunggu peranan besarnya di tengah masyarakat majmuk. Rejuvenasi PAS seperti kata salah seorang ideolog PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam bukunya ‘Rejuvenasi PAS’ bahawa ciri Islam yang menjadi asas kewujudan parti itu tidak syak lagi menjadikan PAS parti yang selesa berlegar di sekitar kepelbagaian masyarakat yang ada di Malaysia hari ini. Katanya lagi, ruang Islam yang membuka seluas-luasnya konsep kepelbagaian meletakkan PAS sebagai parti yang tidak terperesok di ruang sempit perkauman seperti kebanyakan parti order lama. Bagaimanapun, kata Dr Mujahid, PAS belum lagi memaksimakan ruang selesa ini untuk ia benar-benar menjadi parti yang benar-benar memenuhi aspirasi semua kaum. PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kemudian diperluaskan dalam Lajnah Perpaduan Nasional yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid sendiri. Menurutnya, sokongan bukan Islam terhadap Lajnah ini sangat memberansangkan. Para muktamirin tentu sekali sangat berhajat untuk mendengar ucapan pemimpin dan perbahasan yang dinamik, yang memancarkan kecemerlangan berfikir para pemimpin dan pembahas Ucapan Dasar, di samping membahaskan usul-usul yang dibawa oleh perwakilan atau kalau ada usul mengejut yang amat penting dibahaskan. Muktamar bukanlah sekadar menjadi tempat pertemuan rakan seperjuangan lama dan baru, bertemu dan bersalaman dengan pemimpin pelbagai peringkat, membeli belah, makan bersama dan sebagainya, tetapi lebih dari itu dapat dimanfaatkan. Iaitu, umpamanya, perbicangan sesama sendiri bagaimana sewajarnya pendukung PAS merancang membina hubungan dan penerangan kepada yang belum menyokong PAS dan sebagainya. Seperti dikatakan, pendukung PAS melebihi sejuta ahli dari pelbagai latar belakang pendidikan, pengalaman, persekitaran dan sebagainya yang menelurkan pelbagai aliran fikiran dan persepsi yang berbeza. Ini adalah dinamika PAS yang terus berkembang. Bagaimanapun semuanya ini tidak mengurangkan nilai sumbangan mereka kepada PAS dan hakikat ini mestilah diterima dan jangan sama sekali meletakkan pelbagai dikotomi sesama pendukung PAS. Seperti kata, bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bahawa semua pendukung PAS adalah mata rantai perjuangan parti Islam dan semua mereka amat berharga. Katanya, ulama dengan peranan mereka memandu dasar parti, sementara jurutera, arkitek, doktor, peguam, ahli ekonomi dan seluruh amilin PAS lainnya dengan peranan masing-masing dan tidak ada golongan yang merasakan golongannya lebih istimewa dari yang lain, kerana parti sangat menghargai sumbangan mereka. Sebab itulah,semua mereka ini adalah paduan tenaga dan bakat terbaik di dalam PAS untuk dimanfaatkan semaksima mungkin. Maka itu, Muktamar PAS kali ini sewajarnya melakarkan rancangan besar ke arah itu. Kepada para tokoh yang menang dalam pemilihan di Muktamar tersebut, kita yakin mereka sangat menyedari akan tanggungjawab yang diamanahkan oleh perwakilan yang memilih mereka. Mereka ini, bagaimanapun, seperti diketahui, sudahpun melaksanakan amanah ini di masa lalu dan mereka sangat sedar tanggungjawab lebih besar sedang menanti. Mereka yang tidak terpilih, saya yakin, mereka akan meneruskan perjuangan seperti di masa lalu, justeru inilah watak mulia pendukung PAS. Semoga Muktamar PAS ke-59 ini akan menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk membuktikan PAS parti arus perdana iaitu rakyat Malaysia dengan tepukan gemuruh akan memberikan standing-ovation kepada PAS sebagai parti yang menjadi harapan rakyat.