Tuesday 10 January 2012

INGATAN SERIUS PADA PENEROKA FELDA !

Pilih Pakatan dapat tanah, Terpilih BN ‘tergadai' tanah.

BANDAR JENGKA, 11 Jan: Para peneroka diberi pilihan sama ada memilih
Pakatan Rakyat yang akan mendapat tanah, atau BN yang menyerahkan tanah
Felda Plantation untuk penyenaraian saham yang berisiko tergadai kepada
pihak lain.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) Negeri Pahang, Yohanis Ahmad,
memberi bandingan demikian kerana tawaran PR seperti terkandung dalam
‘Buku Jingga’ tanah Felda Plantation akan diagihkan kepada anak-anak
peneroka dan golongan lain yang layak.
Tambahnya, sedangkan mencagarkan tanah untuk ‘permainan’ saham boleh
menyebabkan tanah tersebut terlepas kepada pihak asing yang akan menguasai
melalui pemilikan saham.

“Betul ada pemimpin yang menjanjikan durian runtuh apabila Felda melalui
anak syarikatnya mahu disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur, tetapi hakikat
bermain saham ini bukan saja boleh untung besar tetapi juga boleh rugi
besar.

“Kalau kita hilang lori mungkin boleh cari ganti, kalau hilang kedai
sekalipun boleh beli lain tapi kalau hilang tanah sudah tentu tidak mudah
untuk ditebus balik. Mungkin pemimpin yang menjanjikan keuntungan
semata-mata tidak beritahu bahawa pemilikan saham boleh menyebabkan
penjajahan baru.

“Kita bukan bercakap kosong cuba tengok apa jadi dengan syarikat Guthrie,
IOI dan Golden Hope apabila disenarai di bursa saham. Begitu juga saham
anak-anak syarikat kerajaan negeri.

“Sebab itu kita tengok di Thailand apabila bekas perdana menterinya
Thaksin Shinawatra menjual saham telekomunikasi negara itu, rakyat bangkit
dan memberontak. Itu saham telekomunikasi, ini pula tanah Felda Plantation
seluas 360,000 ekar yang mahu dicagar,” katanya.

Yohanis berucap demikian dalam majlis Dialog dan Minum Petang Bersama
Peneroka di Jengka 19, kelmarin.
Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri memanjangkan pajakan 99 tahun
tanah Felda Plantation dan usaha melupuskan aset Koperasi Permodalan Felda
(KPF) kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang mahu disenaraikan
dalam Bursa Malaysia.
“Sebab itu kita seru pihak kerajaan, daripada nak ambil untung bermain
salam cagarlah benda lain tapi jangan tanah. Daripada tanah seluas itu
terlepas kepada puak kapitalis atau pelabur asing, baiklah diagih kepada
anak-anak peneroka untuk diusahakan,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia
(Juham) PAS Pahang berkata, sebenarnya dasar Allahyarham Tun Razak dulu
ialah memberikan tanah kepada orang Melayu sebab itu apabila dibuka saja
Tanah Rancangan Felda akan diisi dengan peneroka.
Tambah Yohanis, tanah Felda Plantation juga pada asalnya mahu diisi dengan
peneroka dan 10,000 orang telah ditemuduga. Tetapi pada waktu Tun Dr
Mahathir menjadi Perdana Menteri tanah tersebut telah diusahakan syarikat

oleh Felda melalui dasar penswastaan.
“Sebab itu teori kita mudah iaitu Umno nak jual tanah sedangkan PAS nak
bagi tanah jadi pilihlah mana satu yang dihajati dalam pilihan raya akan
datang.

“Ini penting difahami oleh semua supaya tindakan kita semua tidak
menjahanamkan masa depan anak cucu kita pada masa akan datang,” ujarnya.
Khairil Abdul Rahim,

0 comments:

Post a Comment