Friday 28 June 2013

KEMPIMPINAN SELANGOR DAPAT KERJASAMA SULTAN SELANGOR

Sultan Selangor: Beri Kerjasama Kepada Kepimpinan Khalid Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta semua wakil rakyat, termasuk wakil Barisan Nasional (BN), memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurut Baginda, berjaya atau tidak pentadbiran Selangor itu bergantung kepada wakil rakyat dan pemimpinnya mentadbir dan memajukan negeri berteraskan undang-undang sedia ada. “Beta menaruh harapan agar ahli-ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri yang kita kasihi ini,” titahnya dalam ucapan Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. Pada masa yang sama, baginda menasihatkan Abdul Khalid supaya bertugas dengan lebih tekun, gigih dan terus berusaha mempertahankan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia dan sentiasa dihadapan sepanjang masa. Baginda bertitah, wakil rakyat perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan memastikan segala tindakan dan keputusan yang diambil tidak bercanggah dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor. “Janganlah hendaknya ada pihak yang menyalah tafsir peruntukan undang-undang tersebut kearah kepentingan dan manfaat sesuatu golongan tertentu sahaja. “Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing,” titahnya. Sultan Sharafuddin turut menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik (good governance) dan mahu sistem ini terus diamalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Baginda turut berbangga dengan hasil Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) Selangor berjumlah 22% dengan mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM11. 73 bilion pada tahun lalu dengan 252 projek berjaya dimajukan. Sehingga Mac 2013, jumlah pelaburan yang terus mengalir masuk ke Selangor telah mencecah RM700 juta dan mahu usaha perlu digiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelabur melabur di Selangor. Selain itu, baginda juga mahu dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES) diteruskan dan diperluaskan lagi skop pelaksanaannya bagi membantu meringankan beban sekaligus mengurangkan perbezaan pendapatan rakyat. Baginda percaya, dengan peruntukan MES yang dibelanjakan sebanyak RM856 juta sejak tahun 2008 sehingga Februari 2013, rakyat mendapat manfaat hasil kekayaan Selangor itu terutamanya golongan miskin dan yang memerlukan bantuan. -FMT

Wednesday 26 June 2013

PENDEDAHAN DEWAN RAKYAT , SPR MENIPU RAKYAT !

Jawapan Shahidan Kassim Menteri DiJabatan Perdana Menteri, di Parlimen semalam mengenai dakwat kekal yang sebenarnya hanya menggunakan pewarna makanan benar-benar memeranjatkan semua pihak. Ia seperti pukulan maut untuk SPR. Setelah SPR bertegang urat mempertahankan isu dakwat kekal yang banyak dipertikaikan sebelum ini, tetapi dengan jawapan Shahidan ini, kita rakyat Malaysia seperti diperbodohkan mengenai dakwat kekal itu. Malah ramai yang mengeluh, ini rupanya bentuk Malaysia tanahairku setelah 56 tahun merdeka. Penggunaan dakwat kekal yang didapati tidak kekal dalam pilihanraya lalu menjadi isu besar kepada rakyat. Setelah rakyat yang mengundi mendapati ia tidak kekal sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh SPR, ramai yang bising mengenainya. Ramai yang membuat laporan polis mengenainya demi untuk mempertahankan proses demokrasi, termasuk seorang anggota tentera yang kemudian dikenakan tindakan di peringkat jabatan atas perbuatan yang sebenarnya berniat murni itu. SPR pula begitu pantas mempertahankan kekekalan dakwat itu setiap kali ia dibangkitkan. Kononnya ia sudah diuji dan ketidakkekalannya adalah kerana ia tidak digoncang sebelum diguna. Kononnya kalau digoncang betul-betul, ia akan tahan lama. Petugas yang mencalit dakwat diletakkan kesalahan kenapa dakwat itu mudah luntur. Kemudian apabila ia terus dipertikaikan, SPR memberi jawapan lain pula. Kononnya bahan kimia yang digunakan iaitu nitrat perak dalam dakwat itu terpaksa dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan. Seorang timbalan menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, turut bercakap dengan hujah yang sama. Namun kemudian SPR dimalukan pula apabila Menteri Kesihatan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan laporan mengenai pengurangan nitrat perak dalam dakwat itu. Apabila is terus dipertikaikan, SPR lalu menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat mengenai perkara itu untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Agak menghairankan, mereka yang menyediakan dakwat kekal itu, mereka juga yang mengujinya, mereka juga yang mempertahankannya tetapi akhirnya kerana tekanan rakyat, menubuhkan jawatankuasa pula. Namun untuk mengaku kesilapan, jauh sekali. Rakyat pula terus keliru. Sementara rakyat di bawah terus bercakap mengenai dakwat kekal yang tidak kekal ini dan mempertikaikan kewibawaan SPR, isu ini sering saja tenggelam timbul. Tetapi rakyat hairan dengan jawapan dolak-dalik dan tidak konsisten SPR mengenai isu ini. SPR seolah-olah memberi jawapan ikut sedap mulut saja dan bukan berdasarkan fakta sebenar. Dengan jawapan Shahidan di Parlimen bahawa tiada bahan kimia digunakan dalam dalwat kekal itu, sebaliknya hanya pewarna makanan saja, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sepatutnya menghantukkan kepala masing-masing ke dinding jika mereka faham erti wibawa dan integeriti. Ini benar-benar memeranjatkan dan jelas bahawa pelbagai jawapan yang diberi selama ini bohong belaka. Ahmad Maslan pun turut menjadi pemimpin yang berbohong kepada rakyat. Sudahlah hanya pewarna makanan yang digunakan, kos pembelian dakwat kekal yang menececah RM7.1 juta turut menjadi isu. Kalau hanya dakwat yang menggunakan pewarna makanan, bagaimana boleh harganya mencecah semahal itu? SPR kini tidak boleh berdolak-dalik lagi. Jawapan Shahidan di Parlimen lebih dipercayai berbanding pelbagai hujah SPR di sidang media. Kewibawaan SPR sebagai pengendali pilihanraya yang bebas dan adil sudah berakhir. Rakyat berhak mempertikaikan pelbagai isu mengenai pengendalian pilihanraya oleh SPR memandangkan untuk menguruskan hal yang begitu mudah seperti dakwat kekal pun, mereka tidak mampu melakukannya dengan baik. Rakyat juga hairan kenapa dakwat kekal di negara kita menjadi begitu kalut sedangkan penggunaannya di India dan Bangladesh tidak pernah timbul masalah dan sudah digunakan sejak puluhan tahun lamanya. Jika susah sangat, import saja dakwat yang sama yang digunakan di kedua-dua negara itu! Dalam hal ini, memang tiada alasan lagi untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mempertahankan diri mereka. Sudah sampai masanya mereka secara sukarela mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Tidak perlulah berdolak-dalik lagi mengatakan perlantikan mereka atas perkenan Yang Dipertuan Agong dan memaksa berundur kononnya mempertikaikan peranan dan perlantikan baginda itu. Terus mempertahankan benang basah hanya mengeruhkan lagi keadaan. Letak jawatan dan biar orang lain yang lebih berwibawa memimpin SPR. Memandangkan pilihanraya kecil Kuala Besut akan diadakan tidak lama lagi, seeloknya mereka mengundurkan diri sebelum pilihanraya itu berlangsung. Ternampak sekarang, dengan pelbagai kemelut ini, merekalah yang sebenarnya sedang mencemar nama baik Yang Dipertuan Agong, sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan di negara ini dengan jawapan dan hujah yang entah apa-apa dan ikut sedap mulut saja mengenai dakwat kekal yang dipertaikaikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tuesday 25 June 2013

BERITA TERKEJUT DI KUALA BESUT ,INNALILLAH ..

Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 10 pagi tadi. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu dimasukkan ke Hospital Besut pada pagi Khamis minggu lepas dipercayai akibat masalah penafasan sebelum dirujuk ke HSNZ. Jenazah akan disembahyang dan dikebumikan di Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut. Buat masa sekarang, jenazah masih lagi berada di Kuala Terengganu. Sema-samalah kita sedekahkah Al-Fatihah kepada Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Friday 21 June 2013

56 ADUN SELANGOR ANGKAT SUMPAH

SHAH ALAM, 21 JUN : Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi ke-13, Jumaat depan. Kesemua 56 Adun itu mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor di hadapan Speaker DNS yang baru dilantik, Hannah Yeoh. Majlis itu bermula dengan upacara mengangkat sumpah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diikuti tiga Exco Negeri Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Samad dan Rodziah Ismail. Ia kemudiannya disusuli dengan tujuh Exco Selangor yang lain dan kemudiannya diikuti oleh anggota dewan Pakatan Rakyat (PR) serta BN. Terdahulu, majlis dimulakan dengan cadangan Menteri Besar mengemukakan nama Hannah Yeoh sebagai Speaker DNS yang baru dan diikuti Teng yang mencadangkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, PR menang di Selangor dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga apabila menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN.

Thursday 20 June 2013

SELANGOR BENTUK SURUHANJAYA PENYIASAT PRU13

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan membentuk satu suruhanjaya untuk menyiasat penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya yang didakwa berlaku di negeri berkenaan dalam pilihan raya umum ke-13. Syarat dan terma rujukan suruhanjaya berkenaan serta senarai anggotanya akan diumumkan tidak lama lagi, katanya dalam satu kenyataan hari ini. “Penubuhan suruhanjaya ini selaras dengan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Seksyen 2(3)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. “Kerajan negeri berpendapat bahawa penyelewengan pilihan raya adalah melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan,” kata Khalid. Katanya, suruhanjaya itu antara lainnya akan diurus oleh timbalan speaker DUN, Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengangkat sumpah jawatan berkenaan esok. Timbalan speaker DUN berkenaan akan bertindak sebagai penyelaras suruhanjaya berkenaan "Kerajaan Selangor berpendirian bahawa penyelewengan pilihan raya adalah kesalahan serius yang boleh merosakkan sistem demokrasi negara ini dan amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi," kata Khalid lagi.

Thursday 13 June 2013

UMNO MALU BESAR ,UTUSAN MEMANG DAH TERUK APALAGI BN!

Penafian beberapa syarikat pengeluar kereta bahawa mereka menurunkan harga kereta, sebagai sebahagian memenuhi janji pilihan raya BN, dilihat memalukan parti itu, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. Menurut Nik Nazmi lagi, ia sekali gus mendedahkan betapa terdesaknya parti pemerintah dalam berhadapan dengan kempen turunkan harga kereta oleh Pakatan Rakyat. "Episod memalukan ini mendedahkan betapa terdesaknya Umno-BN dalam berhadapan dengan kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan," kata Nik Nazmi dalam kenyataannya hari ini. Pada 10 Jun lalu, akhbar Umno Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan memenuhi janji menurunkan harga kereta secara berperingkat apabila lima syarikat pengeluar kereta mengumumkan penurunan harga 10 model kereta keluaran mereka. Harian itu juga melaporkan, penurunan antara RM449 hingga RM12,775 (dari 0.7 hingga 11 peratus) dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini membabitkan kereta keluaran Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda. Penurunan fasa pertama harga kenderaan itu merupakan sebahagian daripada pelan kerajaan menurunkan secara berperingkat harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus sehingga 2007. Bagaimanapun, sebuah portal berita hari ini melaporkan, Volkswagen dan Peugeot menafikan perkara itu. Volkswagen dilaporkan berkata, harga modelnya Golf tidak diturunkan dari RM169,888 kepada RM157,888, sebaliknya memang dilancarkan daripada awal dengan harga RM157,888. Manakala Peugeot pula dilaporkan berkata, mereka tidak dirujuk dan tiada kaitan dengan artikel itu. Menurut pengeluar kereta Perancis itu juga, harga yang ditunjukkan 308 Turbo pra- facelift dan 308 VTi sebenarnya merupakan dua varian berbeza dari Peugeot 308.

Monday 10 June 2013

RUMAH MAMPU MILIK SELANGOR SIAP 2014

SHAH ALAM 5 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal tampil dengan satu lagi Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang terletak Desa Alam Sekysen U12 yang dijangka berada di siap pada Disember 2014. PKNS dengan usahasama Debbin Sdn Bhd ini merupakan RMM keempat PKNS selepas projek berkembar 1422 unit di Bukit Botak Selayang, 124 unit pangsapuri di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi dan 129 unit rumah teres 1 1/2 tingkat di Antara Gapi Serendah. “Projek ini menawarkan sejumlah 104 unit pangsapuri dengan keluasan setiap unit antara 750 hingga 850 kaki persegi. “Dengan rekabentuk yang menarik, projek ini juga menawarkan suasana kondusif dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air. “Seperti juga projek pangsapuri mampu milik PKNS di Bandar Baru Bangi, sebanyak empat unit akan disediakan untuk orang kelainan upaya (OKU),” kata Pengurus Besar PKNS, Othman Omar. Othman berkata, projek-projek ini adalah sebahagian daripada perancangan 20 tahun PKNS untuk membina sebanyak 31,000 unit RMM di negeri Selangor untuk tempoh sehingga 30 tahun. Rumah Debbin PKNS 2 “Pembinaan rumah mampu milik berkualiti ini dijangka akan menelan belanja subsidi lebih RM1.1 bilion,” katanya. Ujarnya, projek ini juga membuktikan yang Kerajaan Negeri dan PKNS juga prihatin dengan kehendak masyarakat bandar dan luar bandar. Sementara itu. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini PKNS sudah dapat membina lebih daripada 100,000 unit rumah pangsapuri kos rendah. Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan rumah idaman PKNS-Debbin Sdn Bhd di Desa Alam Seksyen U12 di sini. Turut hadir dalam majlis itu Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

PRASARANA SUKAN SELANGOR TINGKATKAN !

BANGI, 10 JUN: Prasarana sukan di Selangor akan dipertingkatkan bagi menarik minat penganjur sukan memilih negeri ini sebagai venue(tempat) pertandingan yang mereka anjurkan. Selain mampu meningkatkan hasil industri pelancongan, langkah tersebut juga dapat memperkenalkan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan dan sukan di peringkat antarabangsa. Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penutup Sukan Mahkamah Syariah di Stadium Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada masa ini pelbagai pertandingan sukan antarabangsa dianjurkan di Selangor. Antaranya termasuk Pertandingan Karate-do yang disertai 15 negara yang diadakan setiap tahun di Shah Alam. “Bersama saya Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi untuk tingkatkan lagi tarikan sukan di Selangor untuk jadikan Selangor sebagai destinasi untuk penganjuran acara sukan. “Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi untuk menarik minat kontinjen luar jadikan Selangor sebagai venue,” kata Abdul Khalid. Sebelum itu, Sukan Mahkamah Syariah kali ke-2 dilangsungkan selama tiga hari di Stadium Pusat Sukan UKM disertai hampir 1,000 kontinjen yang mewakili negeri-negeri seluruh negara. Sukan tahunan tersebut melibatkan 10 acara seperti memanah, futsal, bola keranjang, ping pong, golf, menembak dan lain-lain. Dalam kejohanan kali ke-2 itu, Perlis muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti Perak kedua dan Negeri Sembilan ketiga. Turut hadir dalam majlis penutup tersebut Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Thursday 6 June 2013

PERUNTUKAN PUSAT WAJAR TURUN TANPA PILIH BULU!

SHAH ALAM 6 JUN : Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama dan halatuju pembangunan sukan di negeri itu. Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penggal yang lalu beliau tidak menafikan pihaknya menghadapi situasi seperti dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat berkaitan sukan dan belia di Selangor. Beliau mengharapkan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Beliau dan Sukan yang baru dengan sikap terbukanya yang cuba ditonjolkan untuk mendekaptkan diri dengan belia akan memudahkan urusan ini. “Kita merancang untuk berjumpa beliau supaya diharapkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tidak dianaktirikan,” kata beliau.Yunus Hairi Jelas beliau, pertemuan rasmi itu dijangkakan akan diadakan pada minggu depan dan surat rasmi sudah dihantar dan hanya menunggu respon daripada pihak KBS. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penyampaian Anugerah Sukan Negeri Selangor 2012 yang diadakan di Grand Ballroom Hotel Concorde di sini. Kata beliau lagi, Kerajaan Pusat tidak wajar untuk meminggirkan negeri Selangor dalam pembangunan sukan kerana negeri ini terbukti melahirkan atlet-atlet terbaik yang banyak menyumbang kepada kemajuan sukan negara. “Peruntukan daripada Kerajaan Pusat wajar diberi tanpa melihat batasan politik kerana kita mahu memajukan sukan di negara kita,” kata Dr Yunus. Ujar beliau lagi, untuk penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat ini penumpuan konsep ‘Sukan Untuk Semua’ akan diteruskan bagi memajukan sukan negeri. “Kita memberikan penumpuan kepada sukan berprestasi tinggi yang mana kecemerlangan negeri Selangor yang melahirkan atlet berjaya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. “Kerajaan Negeri bersedia memberikan peruntukan untuk pembangunan sukan dan penambahbaikan kemudahan sukan di negeri ini,” kata beliau.

Wednesday 5 June 2013

JANGAN SEWENANG JUAL RUMAH BILA DAH DIANUGERAH !

SHAH ALAM: Penduduk Bukit Botak yang berhasrat menjual semula kediaman mereka kepada orang awam dinasihat supaya tidak melakukannya terlebih dahulu bagi mengelakkan dieksploitasi oleh ejen perumahan. Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menerima laporan bahawa terdapat ejen yang bertemu dengan pembeli supaya rumah tersebut dijual kembali kepada orang ramai. Katanya, perkara tesebut tersebar luas di laman web di mana ejen-ejen ini didapati mengiklankan kembali rumah di Bukit Botak untuk dijual di pasaran yang terbuka. “Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini kerana kita tidak mahu pembeli rumah dieksploitasi. Kami mendapat laporan bahawa rumah yang pada asalnya berharga RM99,000 kini diletakkan dalam pasaran sehingga RM290,000 sebuah,”katanya. Tambahnya, selepas menyelesaikan dengan baik isu Bukit Botak, Kerajaan Negeri prihatin dan tidak mahu rakyat terus tertipu. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membantu penduduk yang benar-benar ingin menjual semula rumah tersebut. Katanya, melalui cara itu penduduk tidak akan mudah ditipu oleh ejen perumahan tidak bertauliah dan penjualan rumah di kawasan itu dapat dikawal. Projek rumah berkembar di Bukit Botak diambil alih pembinaannya pada September 2010 selepas Kerajaan Negeri mengambil alih projek terbengkalai ituselepas puluhan tahun gagal diselesaikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini. Bertempat di tanah seluas 165 ekar ia menempatkan sejumlah 1,422 unit rumah berkembar satu tingkat berharga RM99,000 seunit bagi unit standard.

Tuesday 4 June 2013

REALISASIKAN SELANGOR ADALAH NEGARA BERKEBAJIKAN !

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepatutnya berbangga kerana dapat melaksanakan kadar bayaran tempat letak kereta terendah di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad pada sidang media di pejabatnya pagi ini memberitahu MBSA juga sepatutnya meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara asas dalam setiap perkhidmatan yang mereka sediakan. Katanya lagi, Datuk Bandar MBSA juga perlu memastikan perkhidmatan yang berkualiti diberikan kepada rakyat bukannya menyukarkan warga Shah Alam dengan kenaikan kadar tersebut. "Kita mendapat makluman mengatakan MBSA akan menaikkan kadar letak kereta dari 40 sen sejam kepada 60 sen sejam. "Saya berpendapat MBSA perlu mengekalkan kadar yang sedia ada dan berbangga kerana dapat melaksanakan kadar harga yang rendah di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat. Tambah Khalid , walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat memberi kebebasan untuk setiap institusi kerajaan negeri membuat perubahan tetapi ia perlu meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas utama. Malah katanya lagi dengan kenaikkan kadar tersebut akan menyukarkan warga penduduk Shah Alam khususnya. "Kita perlu mengambil kira kehendak rakyat dan bukannya menyukarkan kehidupan harian mereka dengan kenaikkan harga walaupun hanya 20 sen. "Sebagai sebuah kerajaan yang perihatin hak dan kehendak rakyat menjadi agenda utama kita," sambung beliau. Khalid yang meminta agar MBSA mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam perkhidmatan mereka terutamanya soal kualiti tempat letak kereta. Jelasnya lagi, perjanjian antara MBSA dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut juga perlu ditelitikan semula bagi kebaikan untuk semua pihak. MBSA dalam satu kenyataan sebelum ini akan berbincang dengan syarikat penyedia dan konsesi tempat letak kenderaan, Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. mengenai kadar bayaran baharu itu bagi menentukan tarikh untuk dikuatkuasakan. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd Atan ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA baru-baru ini menyatakan kadar bayaran tempat letak kereta dinaikkan daripada 40 sen kepada 60 sen sejam. Beliau berkata, kenaikan itu wajar memandangkan kadar 40 sen sejam telah diperkenal sejak 1998.