Tuesday 12 June 2012

KERAJAAN SELANGOR DAN PELABURAN GAS

POGSB Jangka Keuntungan Lebih RM7 Juta Untuk Pelaburan Gas Petroleum Cecair SHAH ALAM, 12 JUN : Perangsang Oil and Gas Sdn Bhd (POGSB) menjangkakan keuntungan antara RM7 hingga RM8 juta setahun dalam bentuk dividen menerusi Perjanjian Langganan Saham dan Pemegang Saham dengan NGC Consolidated Holdings Sdn Bhd dan NGC Energy Sdn Bhd (NGC Energy). POGSB yang juga merupakan anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menandatangani perjanjian bagi pelaburan dalam perniagaan gas petroleum cecair melalui pemerolehan 40 peratus (RM40 juta) kepentingan ekuiti (NGC Energy). Perjanjian yang berlangsung di Hotel Quality di sini, petang semalam turut disaksikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor. Hadir sama, Pengerusi NGC Consolidated Holdings Sdn Bhd, Sheikh Abdulla Suleiman Hamed Al-Harthy, Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin dan Pengarah POGSB, Suhaimi Kamaralzaman. Sementara itu, Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin berkata, peluang untuk melabur dalam NGC Energy adalah kepentingan bermakna dalam perniagaan beruntung yang diminati kebanyakan organisasi. Katanya, kepentingan ekuiti itu juga akan menyumbang secara positif kepada keuntungan Perangsang Selangor mulai tahun 2014. “Melalui perniagaan gas petroleum cecair yang menguntungkan dengan aliran wang tunai yang teguh, jangkaan dividen yang dibayar oleh NGC Energy akan membolehkan POGSB mendapatkan balik kos pelaburan dan menyediakan wang aliran tunai tambahan bagi pelaburan lain,” katanya. Perniagaan gas petroleum cecair yang diperoleh oleh NGC Energy daripada Shell merupakan pembekal gas petroleum cecair kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dengan lebih 90 pengedar dan jualan tahunan melebihi 22 peratus bahagian pasaran domestik.

0 comments:

Post a Comment