Friday, 6 July 2012

FORUM DIKAGUMI DYMM SULTAN SELANGOR

DYMM Sultan Selangor Berkenan Menyampaikan Titah Sempena Forum Perdana Di KUIS KUIS, Bangi, 12 Sya`ban 1433 = 02 Julai 2012 (Isnin): Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada malam ini berkenan hadir dan menyampaikan titah sempena Forum Perdana anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan Kerjasama KUIS, JAKIM & RTM. Turut hadir YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, YB Dato' Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri, Sahibul Samahah Dato' Setia Diraja Haji Tamyiz Mufti Kerajaan Negeri, Sahibul Saadah Dato' Haji Marzuki bin Hussin Pengarah JAIS, Orang-Orang Besar, Pembesar-Pembesar dan Pegawai-Pegawai. Dalam titahnya Baginda memuji terhadap anjuran forum yang diadakan pada malam ini yang menurut Baginda dapat mendorong kepada kebaikan dan kebenaran. Baginda berharap rakyat bersyukur kerana berada di dalam keadaan harmoni. Baginda meminrta semua rakyat bersatu dan mengukuhkan perpaduan. Baginda berharap umat Islam terus meningkatkan kefahaman tentang Islam dan berwaspada dari anasir yang mau merosakkan akidah umat Islam dengan ajaran-ajaran salah. Golongan muda sering menjadi objek bagi pengajaran salah. Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan Al-Quran dan ajaran Ahlu As-Sunnah wal Jamaah. Baginda juga mengucapkan selamat berpuasa Ramadhan yang bakal menjelang.tiba. Sebelum daripada itu Sahibus Samahah Dato' Haji Tamyiz Mufti Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih di atas kehadiran Tuanku dan semua pihak yang hadir. Beliau menjelaskan tujuan forum diadakan bagi memberi kefahaman terutama kepada pelajar dan golongan muda betapa perlunya benteng diri dengan ilmu pengetahuan agar tidak dipengaruhi unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan akhlak. Forum pada malam ini diadakan dua sesi – antaranya bertujuan untuk rakaman RTM. dengan Moderator ialah Saudara Rizal Ramli dari Jabatan Mufti. Untuk sesi pertama, ialah sesi yang membicarakan tajuk Hifzuddin- Menjaga Agama, yang penal forumnya terdiri dari Tuan Haji Mohd Nasir Desa membicarakan antaranya tentang Maqasid As-Syariah, manakala Ustaz Badli Shah membicarakan keaslian Islam dan menolak liberalisma dan pluralisme. Pada akhir sesi dibuka ruang pertanyaan yang soalan-soalan datangnya dari pelajar KUIS yang mendominasi kehadiran. Selepas soal jawab majlis berhenti rehat Jam 11.00 Forum Perdana sesi kedua dimulakan dengan moderator yang sama iaitu Ustaz Rizal Ramli. Beliau memanggil ahli panel Sesi Kedua yang terdiri dari Ustaz Dr. Izhar Arif Mohd dari UKM dan Dr. Zahazan pendakwah terkenal. Mereka membicarakan topik 5S (Sex, Sound, Smoker, Sport dan Screen). Judul yang agak pelik bertujuan untuk menarik golongan muda membincangkan persoalan yang bersabit dengan masalah moral. Sebagaimana sesi pertama dibuka kepada soalan, demikianlah sesi kedua ini juga dikemukakan soalan-soalan oleh pelajar-pelajar. Adalah difahamkan pada permulaan dimaklumkan Tuanku Sultan hanya akan mengikuti sesi pertama sahaja dan akan berangkat selepas tamat sesi pertama, tetapi nampaknya Tuanku tetap mendengar dan terus berada di dalam dewan bagi sesi kedua sehingga tamatnya kedua-dua sesi forum hingga jam 12.00 malam. Baginda juga turut bersama waktu makan tengah malam. Kesanggupan Tuanku mengikuti Forum hingga tengah malam menunjukkan komitmen tinggi Baginda terhadap kegiatan dakwah. Keseluruhan Majlis dapat disifatkan sebagai berjaya.

0 comments:

Post a Comment