Tuesday 28 June 2011

SELANGOR & BAJET 1,500,000,000

SUBANG JAYA 27 JUN : Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan bajet kira- kira RM1.5 bilion untuk tahun 2012 dan dari jumlah itu sebanyak RM700 juta diperuntukkan untuk program- program kebajikan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, peruntukan untuk kebajikan itu tidak akan disalurkan begitu sahaja tetapi melalui benih dana untuk menggalakkan rakyat berdikari dan membina asas ekonomi yang kukuh, untuk manfaat jangka masa panjang.

“Matlamat kami adalah untuk merapatkan jurang pendapatan yang nampaknya semakin membesar di Malaysia. Pembangunan untuk golongan yang berada mesti diteruskan, tetapi kami bertekad penuh untuk memastikan bahawa golongan miskin tidak terus terperangkapdalam lingkaran miskin.

“Kita tidak harus menghadapi situasi yang mana kos makanan bagi seorang individu di sebuah restoran boleh membiayai kos makanan sehari satu keluarga yang jauhnya 15 minit dari restoran tersebut,” kata Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Dialog Bajet Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya pagi tadi.

Ini adalah kali ketiga kerajaan Selangor mengadakan Dialog Bajet selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri. Kerajaan Selangor juga merupakan satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang menganjurkan dialog sebegini yang disertai pihak industri, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan bertujuan merancang perbelanjaan negeri.

Tan Sri Khalid juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kadar untung kontraktor-kontraktor kerajaan dari 30% ke 7%. ”Kami berbuat demikian untuk menjamin nilai yang lebih baik untuk rakyat dan menghapuskan amalan orang tengah yang mengakibatkan ketirisan yang serius dan merugikan rakyat,” ujar beliau.

Dalam ucaptama beliau, Tan Sri Abdul Khalid mengingatkan peserta dialog rin bahawa dasar kerajaan negeri berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban, amanah dan integriti serta menyatakan penghargaan beliau terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang mengamalkan prinsip-prinsip ini dalam menyempurnakan tugas mereka.

Dialog Bajet 2012 akan diteruskan di peringkat kerajaan tempatan supaya maklum balas dari semua lapisan masyarakat dapat diambil kira dalam perancangan pembelanjaan negeri.

0 comments:

Post a Comment