Thursday, 18 October 2012

KEMENTERIAN PELAJARAN JANGAN MENEKAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mengemukakan satu memorandum mendesak Kementerian Pelajaran menghentikan segala bentuk tindakan tidak profesional, penganiayaan dan kezaliman kepada warga pendidik. Presidennya, Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala berkata, dalam masa dua minggu pihaknya menerima tidak kurang daripada 100 aduan berhubung tekanan yang dikenakan terhadap guru. Bercakap pada satu sidang media di lobi Parlimen, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengembalikan semula semua hak guru teraniaya selain menghentikan diskriminasi warga guru dengan melabel satu kelompok sebagai Umno-BN dan satu lagi kelompok bukan Umno-BN. Lantaran itu juga, mereka turut mendesak pembentukan satu jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan kes-kes penganiayaan terhadap guru. “Antara bentuk tindakan yang dikenakan adalah dibuang kerja kerana tidak tahan menurut arahan dengan kerap berpindah dan tidak munasabah. “Selain itu, guru dipindahkan jauh dari kediaman dan keluarga atas tekanan politik malahan disyaki aktif berpolitik serta cenderung kepada pembangkang,” katanya yang juga bekas calon PAS pada Pilihan Raya Kecil Dun Tenang pada tahun 2011. Dalam memorandum yang diterima oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud selaku wakil Pakatan Rakyat turut dilampirkan beberapa nama guru yang menjadi mangsa penganiayaan Kementerian Pelajaran termasuk suami Cikgu Mala, Maarof Abdul Mutalib. Beliau ditukarkan dari SMK Tenang Stesen, Segamat Ke SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi yang menyaksikan jarak ulang-alik lebih 500KM. Selain itu, beliau turut berhadapan hukuman berganda iaitu amaran, tindakan tata tertib, dipotong gaji tujuh hari bekerja serta dinafikan bonus tahun 2011, kesan daripada penglibatan isterinya dalam medan politik.

0 comments:

Post a Comment