Tuesday 23 October 2012

LULUS 2007 , PAKATAN RAKYAT YANG KENA TUDUH!

KUALA LUMPUR, 23 OKT : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneruskan Projek Pembinaan Kabel berkuasa tinggi sehingga hari ini. Sebaliknya tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim projek ini sebenarnya diluluskan oleh Kerajaan Selangor BN pada 2007. “Kalau MCA kata dia protes, dia mesti protes pada 2007 dan dia tidak boleh protes sekarang,” katanya dalam majlis lawatan kerja dan bertemu rakyat di Taman Connaught di sini hari ini. Justeru, tuduhan MCA Bandar Tun Razak pada 17 Oktober lalu bahawa beliau dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel itu merentasi beberapa kawasan di Cheras di Selangor dan Taman Connaught di sini adalah tidak benar. “Sebaik sahaja menerima bantahan dan aduan daripada penduduk setempat tentang pembinaan ini pada 2010, saya mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak memberikan apa-apa kellulusan pembinaan kepada TNB di kawasannya sehingga TNB memberikan cadangan lain. “Tetapi malangnya TNB bru-baru ini mula meneruskan kembali pembinaan itu bertumpu di kawasan Taman Connaught di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan,” katanya. Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak juga berkata, TNB seharusnya mempertimbangkan bantahan penduduk dan tidak meneruskan projek pembinaan kabel berkuasa berkenaan. Bagi menyelesaikan masalah ini satu perbincangan dicadangkan diadakan dalam masa dua minggu ini melibatkan TNB dan DBKL bersama penduduk di situ serta Bandar Tun Razak bagi mencari jalan penyelesaian. Beliau berkata, penduduk membantah projek tersebut kerana berasa bimbang akan tahap keselamatan dan kesihatan mereka bakal terjejas akibatnya. Menurutnya, pihaknya menyokong penuh sebarang projek pembangunan untuk keselesaan rakyat tetapi ia perlu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira pandangan dan ketidakselesaan golongan itu. Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahlli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

0 comments:

Post a Comment