Monday, 27 May 2013

NEGARA MALAYSIA PERLU DIBETULKAN SEMULA !

Negara perlu disusun semula dari alif, baa, taa Serius, negara kita wajar disusun semula segala-galanya. Kita tidak lagi mempunyai sistem sebuah kerajaan yang ‘sustainable’ dalam segala bidang. Semuanya sudah tidak boleh dipakai lagi dan jika tiada perubahan maka kita tidak akan lagi berada di dalam sebuah negara yang berkerajaan yang benar-benar selari dengan kehendak demokrasi dan kehendak kemajuan dunia masakini. Keyakinan terhadap semua institusi demokrasi sudah sampai tahap terendah dan tidak diketahui lagi samada kita ini akan maju ketahap dunia pertama atau berundur dan mengelongsor ketahap kerajaan dunia ketiga. Kita membiarkan kepimpinan kerajaan menyerang dan merobohkan semua institusi demokrasi. Sistem kehakiman, kepolisian, undang-undang dan berbagai-bagai lagi telah dilacurkan. Kita seolah-olah sedang tinggal dalam sebuah negara yng sama tahap kewibawaannya seperti Zimbabwe, Mali, Congo dan lain-lain. Jatuhnya kewibawaan sesebuah negara dan kerajaan itu berkait rapat dengan kewibawaan pemimpin-pemimpinnya. Di negara kita sistem yang ada sudah tidak diyakini lagi oleh bukan sahaja rakyat kita sendiri, tetapi telah menjadi cemuhan masyarakat antarabangsa. Sudah tiada pihak yang serius untuk melakukan perubahan untuk mengembalikan negara kita ketahap yang pernah kita alami dahulu. Dulu negara kita adalah negara yang paling hampir kepada tahap dunia pertama dan negara maju.sejurus kita mencapai kemerdekaan dahulu. Pencapaian kemajuan yang dimaksudkan bukannya dari segi pembangunan fisikal semasa itu, tetapi sikap dan suasana kepimpinan semasa itu jauh lebih baik dari masa sekarang. Dulu kepimpinan kita begitu masyhur dengan kewibawaan sebagai pemimpin sebuah negara yang cepat mencapai tahap negara maju. Tetapi bagi pimpinan sekarang mereka mengaku dan memuji diri sendiri yang kita telah hampir ketahap itu. Tetapi apakah benar kita sudah menghampiri tahap dunia maju seperti yang digembar-gemburkan itu? Kalau kita sebut negara maju itu apakah definasi negara maju sebenarnya? Adakah cukup dengan membina bangunan tinggi-tinggi yang hampir setinggi awan itu untuk menjadi kayu pengukur kemajuan itu? Adakah sudah mencukupi jika kita membina jambatan panjang-panjang atau membina tiang bendera yang tertinggi di dunia itu sudah melayakkan kita digulungkan ke dalam negara maju? Bagaimana dengan sikap dan nilai pemikiran kita tidak perlu dibina untuk melayakkan kita menjadi sebuah negara maju? Tidak perlu kah kita membina kepimpinan yang beretika dahulu sebelum kita menjadi negara maju? Apa kah sebenarnya ciri-ciri penting yang perlu ada sebelum kita boleh menganggap negara kita sudah mencapai ke tahap negara maju itu? Pendeknya tahukah kita semua apa dia negara maju itu? Negara maju itu adalah sebuah negara yang matang. Kematangan negara itu bukan setakat mencapai kemajuan fisikalnya tetapi kematangan yang meliputi bidang kehidupan yang lain. Kematangan sesebuah negara itu boleh kita lihat dari segi politiknya, kemajuan pemikiran rakyat lebih-lebih lagi pemikiran pimpinannya. Negara maju yang matang mempunyai rakyat yang hidupnya penuh dengan etika kehidupan sehariannya dan lebih-lebih lagi dari segi sikap mereka terhadap semua isu ada didepan mata mereka. Dalam sebuah negara maju sistem kehakiman mereka tidak boleh dipengaruhi oleh politik dan menyebelahi sesuatu pihak. Pihak eksekutifnya tidak boleh masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan kehakiman itu. Sistem kehakiman kita suatu ketika dahulu adalah badan bebas tetapi dihancurkan oleh pimpinan kerajaan (executive) semasa pimpinan seorang Perdana Menteri yang boleh berjalan di atas air dahulu. Di England badan yang mengendalikan pilihanraya tidak menunjukkan sikap seperti pimpinan SPR di sini yang menunjukkan ‘thumbs up’ di depan media setelah BN berjaya mengekalkan mandat walaupun mandat yang bertambah kecil. SPR di sini seolah-olah adalah salah satu dari anggota Barisan Nasional yang berbelas-belas itu. Di negara maju anggota Polisnya lebih menumpukan tenaga untuk menjaga keselamatan negara dan tidak seperti disini di mana anggota Polisnya lebih menumpukan perhatian kepada pemimpin pembangkang sahaja. Jenayah bertambah-tambah dan segala jenis jenayah nampak seperti tidak ada kawalannya. Polis sudah hilang ‘priority’ terhadap tanggungjawabnya. Mereka lebih percaya yang perhimpunan anjuran PKR itu lebih bahaya dari kumpulan penyamun yang sentiasa mengintai-ngintai untuk menyamun rumah-rumah yang boleh mereka masuk untuk menyamun. Pendeknya seluruh sistem dan kewibawaan kerajaan sudah tidak boleh lagi diperbaiki oleh pimpinan yang ada sekarang ini. Seperti yang selalu saya sarankan, negara kita perlu melakukan transformasi, bukan seperti yang dianjurkan oleh Najib tetapi transformasi yang hakiki. Kita terpaksa memulakan dengan menyusun kembali negara ini dari ABC atau alif baa taa. ‘The elders have to take charge’ buat sementara untuk menyususn kembali negara yang telah tersimpul mati dengan kemelut dan masalah yang tidak kunjung selesai itu. ‘Budak-budak’ yang tidak berhenti-henti berkelahi itu duduk di tepi dahulu, hisab cerut atau rokok daun, atau duduk bersama saya di kedai kopi mamak mana-mana. Untuk memulakannya biar lah mereka yang memahami selok belok siasah dan pentadbiran dan mempunyai roh sejati untuk memperbaiki keadaan ini. Najib hanya pandai bercakap tentang ‘national reconciliation’. Tetapi beliau juga adalah pihak yang terlibat dalam pergaduhan untuk mengekalkan kuasa dengan orang yang hendak mendapatkan kuasa itu. Jika Najib benar-benar jujur untuk matlamat itu, beliau sepatutnya mempunyai otot yang cukup kuat untuk mendisiplinkan ahli-ahli partinya untuk tidak berkata dan bertindak tanpa mempunyai ‘clue’ yang betul untuk melakukannya.

0 comments:

Post a Comment