Sunday 19 May 2013

SINAR ISLAM MEMANCAR DI SELANGOR DARUL EHSAN !

Cahaya Islam sudah mula memancarkan cahayanya di negeri Selangor Darul Ehsan, jika diukur dari prestasi PAS mencatat kejayaan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) baru-baru ini. Kerusi DUN yang dimenangi PAS ialah Sabak, Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun Tua, Bangi, Seri Serdang, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat. Keupayaan PAS memenangi tambahan 7 kerusi lagi menjadikan 15 berbanding 8 kerusi DUN sahaja pada 2008, peningkatan hampir 100 peratus, merupakan satu lonjakan dan kemenangan yang besar bagi PAS, satu-satunya parti yang menggabungkan perjuangan politik dan aktiviti dakwah. Pada PRU-13, rakyat Selangor yang terdiri dari golongan teknokrat, kelas menengah dan miskin bandar serta celik internet dan kaya maklumat dengan bebas dan berani menyatakan sokongan kuat kepada PAS. Jika trend ini berterusan maka suatu hari nanti, kita tidak harus terperanjat jika Selangor, negeri termaju dan terkaya di negara ini, akan mengikut jejak langkah Kelantan, negeri yang terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah”. Analisa keputusan PRU-13 di negeri Selangor khususnya, menunjukkan para pengundi tidak takut dengan dakyah Umno mempermainkan isu pelaksanaan hukum hudud jika PAS berkuasa, baik di peringkat negeri lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan. Walaupun hampir 100 peratus ahli Umno terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, mereka bersembunyai sebalik tabir MCA, untuk cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menghina hudud, hukum yang jelas disebut dalam Al Quran. Kalaupun ada segolongan rakyat yang termakan dengan suntikan racun Umno-Barisan Nasional (BN) ini, mereka ini adalah orang-orang Melayu yang kurang berpendidikan yang kebanyakannya menetap di kampung-kampung. Rakyat di bandar dan pinggir bandar, baik orang Melayu, Cina atau India terutamanya di Selangor tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat Umno-BN ini dan ini terbukti dengan jumlah undi yang dipungut oleh calon-calon PAS berdasarkan demografi pengundi. Masyarakat Cina di Selangor jelas mengundi calon PAS di kawasan-kawasan di mana tidak terdapat calon DAP dan nampaknya orang Melayu di kampung lebih takut kepada hudud berbanding masyarakat Cina dan India di bandar.

0 comments:

Post a Comment