Tuesday 4 June 2013

REALISASIKAN SELANGOR ADALAH NEGARA BERKEBAJIKAN !

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepatutnya berbangga kerana dapat melaksanakan kadar bayaran tempat letak kereta terendah di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad pada sidang media di pejabatnya pagi ini memberitahu MBSA juga sepatutnya meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara asas dalam setiap perkhidmatan yang mereka sediakan. Katanya lagi, Datuk Bandar MBSA juga perlu memastikan perkhidmatan yang berkualiti diberikan kepada rakyat bukannya menyukarkan warga Shah Alam dengan kenaikan kadar tersebut. "Kita mendapat makluman mengatakan MBSA akan menaikkan kadar letak kereta dari 40 sen sejam kepada 60 sen sejam. "Saya berpendapat MBSA perlu mengekalkan kadar yang sedia ada dan berbangga kerana dapat melaksanakan kadar harga yang rendah di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat. Tambah Khalid , walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat memberi kebebasan untuk setiap institusi kerajaan negeri membuat perubahan tetapi ia perlu meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas utama. Malah katanya lagi dengan kenaikkan kadar tersebut akan menyukarkan warga penduduk Shah Alam khususnya. "Kita perlu mengambil kira kehendak rakyat dan bukannya menyukarkan kehidupan harian mereka dengan kenaikkan harga walaupun hanya 20 sen. "Sebagai sebuah kerajaan yang perihatin hak dan kehendak rakyat menjadi agenda utama kita," sambung beliau. Khalid yang meminta agar MBSA mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam perkhidmatan mereka terutamanya soal kualiti tempat letak kereta. Jelasnya lagi, perjanjian antara MBSA dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut juga perlu ditelitikan semula bagi kebaikan untuk semua pihak. MBSA dalam satu kenyataan sebelum ini akan berbincang dengan syarikat penyedia dan konsesi tempat letak kenderaan, Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. mengenai kadar bayaran baharu itu bagi menentukan tarikh untuk dikuatkuasakan. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd Atan ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA baru-baru ini menyatakan kadar bayaran tempat letak kereta dinaikkan daripada 40 sen kepada 60 sen sejam. Beliau berkata, kenaikan itu wajar memandangkan kadar 40 sen sejam telah diperkenal sejak 1998.

0 comments:

Post a Comment