Monday 10 June 2013

PRASARANA SUKAN SELANGOR TINGKATKAN !

BANGI, 10 JUN: Prasarana sukan di Selangor akan dipertingkatkan bagi menarik minat penganjur sukan memilih negeri ini sebagai venue(tempat) pertandingan yang mereka anjurkan. Selain mampu meningkatkan hasil industri pelancongan, langkah tersebut juga dapat memperkenalkan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan dan sukan di peringkat antarabangsa. Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penutup Sukan Mahkamah Syariah di Stadium Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada masa ini pelbagai pertandingan sukan antarabangsa dianjurkan di Selangor. Antaranya termasuk Pertandingan Karate-do yang disertai 15 negara yang diadakan setiap tahun di Shah Alam. “Bersama saya Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi untuk tingkatkan lagi tarikan sukan di Selangor untuk jadikan Selangor sebagai destinasi untuk penganjuran acara sukan. “Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi untuk menarik minat kontinjen luar jadikan Selangor sebagai venue,” kata Abdul Khalid. Sebelum itu, Sukan Mahkamah Syariah kali ke-2 dilangsungkan selama tiga hari di Stadium Pusat Sukan UKM disertai hampir 1,000 kontinjen yang mewakili negeri-negeri seluruh negara. Sukan tahunan tersebut melibatkan 10 acara seperti memanah, futsal, bola keranjang, ping pong, golf, menembak dan lain-lain. Dalam kejohanan kali ke-2 itu, Perlis muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti Perak kedua dan Negeri Sembilan ketiga. Turut hadir dalam majlis penutup tersebut Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut.

0 comments:

Post a Comment