Friday 2 September 2011

PERUTUSAN MB SELANGOR

Perutusan Hari Kemerdekaan ke-54 Oleh Menteri Besar Selangor
Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1) Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Tahun ini rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-54 sejak Pemahsyoran Kemerdekaan dibacakan dan laungan Merdeka oleh Y.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1957 di Stadium Merdeka.

2) Dalam permahsyoran berkenaan dijelaskan bahawa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Ia juga menekankan kepentingan rakyat bersatu padu dengan prinsip kebebasan dan keadilan.

3) Setelah 54 tahun Merdeka, banyak isu muncul dalam kehidupan bernegara di Malaysia dan ia menuntut kematangan pemikiran dan sikap kita semua untuk menanganinya dengan hemah dan terbuka. Peluang untuk mentadbir sendiri negara yang tercinta ini perlulah dilakukan dengan cara terbaik. Kita perlu mengukuhkan iltizam memerangi rasuah, kezaliman, salah guna kuasa dan kelemahan urus tadbir yang ada.

4) Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi bukanlah tanpa prinsip dan idea pendorong. Justeru, sempena sambutan kemerdekaan tahun ini marilah kita bersama menghayati semangat dan inti permahsyoran ini dalam mendorong kemajuan negara, di mana hak setiap warganegara berdasarkan prinsip kebebasan tadi terus dipelihara.

5) Kerajaan negeri Selangor akan sedaya upaya memastikan semangat Pemahsyoran ini sentiasa didokong dalam urus tadbir kerajaan dan semasa menangani pelbagai isu yang berlaku dari semasa ke semasa. Marilah kita seluruh warga negara Malaysia, khususnya di Selangor, menghayati semangat permahsyoran ini agar kehidupan bernegara dan bermasyarakat dapat berlangsung secara berprinsip dan boleh dibanggakan.

6) Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Sambutlah ia dengan penuh rasa syukur dan keinsafan. Semoga kita semua akan menjadi warganegara yang merdeka dengan pengertian sebenar.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Post a Comment